Khamis, 3 Mac 2011

Praktis Alih Bentuk Bahasa

Alih bentuk bahasa petikan yang berikut:


Dialog
a) “Ketika saya tak ada nanti, ayah tolong tengok-tengokkan si Chah tu. Jangan beri muka sangat pada budak tu.” Kata Timah sewaktu dia nak ke Mekah dulu . “Chah tu jangan diikutkan sangat kehendaknya. Ayah kenalah jaga dia betul-betul masa kami tak ada nanti.” Timah menambah. Tok Man hanya senyum.
    “Jangan bimbang Timah, aku akan jaga takat yang aku mampu. Chah tu dah besar panjang. Aku tak boleh ikut punggungnya tiap masa. Lagi pun aku ni dah tua.” balas Tok Man.


b) “Marilah kita makan sama-sama,”ajak Rosalind setelah melihat Kiah membisu disebelahnya.
    “Berapa hari cuti?” Tanya Pak Karim, bagaikan tidak ingin membiarkan suasana sepi.
    “Tak cuti, abah!” jawab Mazlan, mencedok sesudu santan dan menuangnya atas nasinya.
    “Habis macam mana?” Pak Karim berhenti mengunyah, matanya tumpah ke wajah anak dan menantunya.


Teks Klasik

c)             Syahdan apabila Tun Berahim Baba melihat ayahandanya berangkat keluar, maka ia pun lalu berdiri dengan takzim di hadapan baginda serta sampai sahaja baginda, ia pun terus sujud menyembah ayahandanya itu. Maka Sultan ahmad pun bertitah kepada Bermamat Pantai dan Medan Pantai, titahnya, “Hendaklah engkau kedua sebutkan kepada anakku Tun Berahim Baba, jika ia hendak menaiki kuda itu, moleklah di hadapan orang ramai atau pendekat Kabat itu, dan suruhlah ia memacu kuda itu dari sini sampai ke Takus.”



d) Sebermula pada suatu hari hanyut buih dari hulu Sungai Palembang itu terlalu besar; maka dilihat orang di dalam buih itu seorangbudak perempuan, terlalu baik parasnya. Maka dipersembahkan orang ke bawah duli Sang Sapurba, maka disuruh baginda Puteri Tanjung Buih, diangkat anak oleh baginda, terlalu sangat dikasihi baginda. Telah berapa lamanya Sang Sapurba duduk dengan Wan Sendari itu, maka baginda pun beranak empat orang, dua orang perempuan baik-baik parasnya.


Puisi

e)             Angin dingin pagi itu
                berhembus di lading bendang dan
                menyapu rambut dan muka
                anak-anak berbaju putih berkain biru
                yang sedang berlenggang mengepit buku.





Iklan

f)                                                                           AKADEMI SENI WARISAN
                                                                                TEMU DUGA TERBUKA

Permohonan adalah dipelawa daripada warganegara Malaysia yang berkelayakan bagi menghadiri
temu duga jawatan berikut:
1.       Jawatan         :               ARTIS BUDAYA (PENARI)
Lelaki & Wanita

                  
       Kumpulan Perkhidmatan : Sokongan (Skim Perkhidmatan Bersepadu)
       Klasifikasi Perkhidmatan : Bakat dan Seni
       Taraf Jawatan                    :Kontrak
       Jadual Gaji                          :Gred B17
                                                       P1T1 RM662.35 – P1T24 RM 1741.67

      Syarat Lantikan:
(a)     Mempunyai bakat, kebolehan dan daya kreativiti yang telah terbukti dan diakui mutunya dalam bidang kebudayaan;
(b)     Calon-calon lantikan terus adalah dikehendaki lulus Ujian Khas bagi menentukan kesesuaian mutu dan tahap bakat, kebolehan dan daya kreativiti sebelum lantikan sperti yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik yang berkenaan.
(c)     Lelaki: Tinggi:- 5 kaki 4 inci (163 cm); Berat:- 119 – 125 paun (54 – 57 kg)
Perempuan: Tinggi:- 5 kaki  2 inci (158 cm); Berat:- 99 – 110 paun (45 – 50 kg)
(d)     Calon-calon lantikan terus hendaklah berumur tidak kurang dari 18 tahun dan tidak melebihi 27 tahun pada tarikh temu duga diadakan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan