Khamis, 3 Mac 2011

Praktis mencari idea utama, isi dan kesimpulan teks

Baca petikan dibawah dan catatkan idea utama, isi-isi sokongan dan kesimpulan untuk membuat rumusan :
Kerjaya sebagai guru kerap dikatakan sebagai kerjaya yang mulia. Hal ini demikian kerana guru bertanggungjawab memdidik generasi muda sama ada di sekolah atau institusi pengajian tinggi.. Peranan dan tanggungjawab seorang guru amat berat. Guru bukan sahaja mengajar, tetapi juga berperanan mendidik para pelajar menjadi insan yang cemerlang dari segi intelek, akhlak, emosi dan jasmani. Sejajar dengan peralihan zaman dan kemajuan yang dicapai dalam dunia pendidikan, maka peranan guru turut mengalami perubahan dengan tanggungjawab yang semakin mencabar dan bebanan yang ditanggung oleh guru kian bertambah. Kini, selain mengajar , guru juga perlu menghabiskan sebahagian besar  masanya di sekolah dengan mengadakan kelas tambahan dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum atau sukan. Tugas ini dijalankan pada waktu petang atau petang atau di luar waktu persekolahan, termasuklah hari cuti.
                Tugas guru tidak semudah yang disangkakan oleh sesetengah pihak. Selain menuntun kesabaran dan ketabahan, guru juga perlu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, termasuk ilmu psikologi. Hal ini demikian kerana mereka bertanggungjawab terhadap keselamatan, disiplin, selain memastikan kecemerlangan prestasi akademik pelajar. Dlam kesibukan mengajar, pada masa yang sama mereka menjadi kaunselor untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh pelajar yang berada dibawah pengawasan mereka. Guru juga menjadi tempat mengadu, berbincang, merujuk , meminta nasihat, dan meminta pertolongan. Kadangkala guru melakukan apa-apa sahaja tugas yang tidak dilakukan oleh mereka yang bekerja dalam bidang yang lain.
                Berdasarkan situasi di atas, tidak hairanlah profesion perguruan dipandang mulia oleh masyarakat kita. Guru dianggap sebgai sumber ilmu dan maklumat kepada pelajar. Bagi sesetengah pelajar, guru dianggap individu mengetahui segala-galanya. Oleh sebab itulah, golongan ini terlalu bergantung pada guru dan tidak cuba menerokai ilmu yang kurang difahami oleh mereka. Dari aspek lain pula, guru menjadi teladan kepada pelajar dan menjadi pemimpin kepada anggota masyarakat, terutama di kawasan pendalaman. Guru dilantik sebagai pemimpin badan-badan sukarela. Menyedari akan tanggungjawab berat ini, para guru seharusnya melengkapkan diri supaya kekal relevan dengan perkembangan semasa. Hal ini, demikian kerana cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka pada alaf baru ini jauh lebih berat jika dibandingkan dengan beberapa dekad sebelum ini. Situasi ini menuntut guru lebih bersedia dengan perkembangan semasa.
                Guru perlu lebih kreatif dalam merancang pengajaran supaya sesuai dan dapat diikuti dangan berkesan dan sistematik oleh para pelajar. Sehubungan dengan itu, guru perlu mahami dimensi psikologi dan masalah yang dihadapi oleh pelajar mereka, seterusnya merangka tindakan disiplin, masalah sosial dan juga masalah yang berkaitan dengan akademik pelajar. Guru tidak boleh menjatuhkan hukuman sesuka hati, tetapi mereka perlu menggunakan budi bicara dalam sesuatu tindakan. Guru juga perlu bijak bertindak dan perlu memberikan kefahaman kepada pelajar tentang tujuan hukuman dikenakan terhadap pelajar.
                Kajian yang dibuat mendapati bahawa terdapat banyak factor yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah. Salah satunya mempunyai kaitan dengan masalah ekonomi dan kemiskinan keluarga. Bagi menyelesaikan msalah ini, guru boleh mengubungi dan merujuk perkara itu kepada pegawai kebajikan atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
                Pelajar hari ini tidak sama dengan pelajar zaman pra dan awal kemerdekaan. Pelajar masa ini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat. Mereka mampu berhujah dengan guru berhubung persoalan yang berlaku dalam masyarakat. Oleh itu, para guru perlu peka terhadap isu yang berlaku  dalam kehidupan mereka serta perlu menguasai teknologi maklumat dan mendalami ilmu pengetahuan supaya mereka terus dihormati serta disanjung oleh pelajar. Setiap guru harus memiliki cirri-ciri tersebut bagi membolehkan mereka melaksanakan peranan dan tugas dengan jayanya serta mengharungi segala cabaran yang menanti mereka pada alaf baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan